Kerjaya Hashridz Murshim Hassim

Pada tahun 1988, Acis yang ketika itu berusia 18 tahun & sedang menunggu keputusan SPM telah berkenalan dengan vokalis Kumpulan Gersang, Man Bai ketika bermain bola sepak di kawasan perumahan tempat mereka tinggal. Gersang ketika itu sudahpun tertubuh dengan keanggotaan seramai 4 orang dengan 3 daripadanya (Man Bai, Kid & Man Greng) berasal dari Johor manakala seorang lagi anggota (Jojet) merupakan anak jati Ampang, Kuala Lumpur.

Setelah album pertama yang berjudul Gersang dipasarkan, ahli kumpulan Gersang telah bercadang untuk mencari pemain papan nada (keyboard) memandangkan lagu-lagu yang dihasilkan banyak memerlukan penggunaan instrumen tersebut sejak dari album pertama lagi. Setelah diserap masuk ke dalam kumpulan Gersang oleh Man Bai, beliau telah memulakan kariernya bersama kumpulan tersebut dengan album yang berjudul Takdir, juga dikeluarkan pada tahun yang sama.

Setelah Gersang dibubarkan pada tahun 1990, beliau telah melanjutkan pelajaran di ITM (kini UiTM) Shah Alam dalam bidang muzik dan kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di Berklee College of Music, Boston, Amerika Syarikat. Sebaik sahaja pulang ke tanah air, beliau banyak bergiat sebagai pemuzik dan seringkali mengiringi nama-nama besar dalam industri muzik. Kini, beliau bertugas sebagai pengarah muzik dalam mana-mana konsert dan program realiti anjuran Astro.